Thursday, May 11, 2006

Pernikahan Ady Putra & Aida.

Keluarga tetap nombor satu.

MYA Zara memberi impak besar pada karier Adi Putra atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim, sekali gus melonjakkan namanya sebagai pelakon pelapis paling menonjol.Wataknya sebagai Azlan cukup meninggalkan kesan di hati pengikut setia drama bersiri ini, malah ada antara mereka jatuh cinta dengannya dan tidak kurang juga membenci gara-gara karektor antagonis yang dibawanya.Siapa tidak geram melihat Azlan bijak menggunakan kelebihan yang ada padanya untuk menundukkan bapa serta anggota keluarga lain? Lebih parah, dia yang menjadi harapan bapa sanggup bermain kayu tiga dengan isteri abang sendiri.

Bagaimanapun, sikap machonya lebih mendominasi perhatian penonton, khususnya wanita. Senyuman, lirikan mata dan gayanya mampu mencairkan hati, malah tidak keterlaluan rasanya jika penulis katakan ada penonton gila bayang kerananya.
Pun begitu, tahukah anda di sebalik watak macho Azlan, Adi Putera yang menyambut ulang tahun ke-25 pada Februari lalu sangat mementingkan ikatan kekeluargaan dan masih mengharapkan perhatian ibunya yang sanggup berpindah dari Kota Singa ke Kuala Lumpur atas permintaannya.

“Saya tidak kisah jika orang melabelkan saya anak emak. Sejak kecil saya tidak pernah berjauhan dengan orang tua. Dengan adanya ibu di sisi, saya rasa lebih selesa.“Apabila nekad untuk meneruskan karier sebagai pelakon di Malaysia, ayah izinkan saya membawa ibu menetap di Kuala Lumpur. Kalau ikutkan saya mahu ayah turut serta, tapi apakan daya ayah terikat dengan tugasnya sebagai jurutera penerbangan.“Sebagai anak, saya risau juga dengan keadaan ayah. Maklumlah, kakak dan abang saya berkahwin dan menetap dengan keluarga masing-masing. Justeru, saya dan ibu kerap pulang ke Singapura untuk menjenguk ayah.

“Saya terharu dengan pengorbanan ayah dan ibu. Keprihatinan mereka menyedarkan saya supaya sentiasa mendahulukan keluarga, khususnya ibu bapa, walaupun berumah tangga kelak,” kata anak bongsu daripada tiga bersaudara ini, anak muda lulusan Diploma Kejuruteraan Penerbangan, Institut Pendidikan Teknikal Singapura itu mengakui, drama bersiri kegemaran ramai ini menjadi batu loncatan untuknya terus bertahan, sekali gus mencari lebih banyak peluang mengukuhkan kedudukan dalam industri.
“Sejak dua tahun lalu, saya membintangi beberapa drama dan carekarama namun lebih dikenali melalui Mya Zara. Tidak dinafikan, drama ini banyak menaikkan nama saya.

“Terima kasih diucapkan kepada Grand Brilliance Sdn Bhd kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada saya melakonkan watak Azlan. Bukan senang untuk menjiwai watak ini kerana perbezaan umur saya dan Azlan terlalu jauh. Saya harus pastikan penampilan dan tingkah laku saya menepati usia Azlan yang melepasi angka 30 tahun.“Selain itu saya perlu hidupkan watak Azlan hingga menimbulkan kebencian penonton. Secara peribadi, saya berpuas hati dengan watak ini, apatah lagi ramai peminat mengatakan lakonan saya menjadi. Pun begitu, kalau ditanya mengenai mutu lakonan, sebagai pelakon saya belum puas.

Banyak usaha harus dilakukan bagi memastikan peningkatan dari semasa ke semasa,” kata Adi ketika berkunjung ke pejabat MA, baru-baru ini.Ditanya mengenai sejarah pembabitannya, Adi memberitahu, kariernya bermula sebagai pelakon sambilan di Singapura pada 2002. Ketika itu Adi tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang ini secara serius, namun dua tahun kemudian haluan hidupnya berubah apabila pengarah dan pelakon terkenal, Erma Fatima melamarnya membintangi Haryati 2.

Tawaran kedua muncul apabila Erma sekali lagi mengundang Adi menjayakan drama Dilema Wanita. Kedudukan Adi bertambah selesa pada 2005 apabila GB memberi kepercayaan kepadanya untuk menjayakan cerekarama sempena sambutan Hari Keputeraan Rasulullah, berjudul Kelahiran Yang Teristimewa.Kemudian, menyusul pula cerekarama Dakapan Senja (2005), Kasih Rela Ku Pujuk dan terbaru muncul cemerlang dengan Mya Zara.“Saya tidak akan lupa jasa baik Erma kerana dia bertanggungjawab memperkenalkan saya dalam industri ini.

Pertama kali bekerja dengan Erma, tidak pernah terlintas di fikiran saya dapat bertahan hingga ke hari ini.“Pada mulanya saya kurang yakin dengan penerimaan masyarakat Malaysia, tetapi tanggapan ini berubah apabila satu demi satu lakonan saya mendapat tempat di hati peminat.“Jujur, saya tidak pernah menetapkan had masa berapa lama saya akan bertapak dalam industri kerana semuanya terpulang pada rezeki dan penerimaan peminat. Selagi diperlukan, insya-Allah saya akan terus melebarkan sayap di sini. Malah, menjadi harapan saya untuk sama-sama memartabatkan industri seni Malaysia yang saya anggap seperti negara sendiri,” katanya yang berpegang pada prinsip tidak menyusahkan orang lain.

Ditanya mengapa tidak memilih bidang kejuruteraan penerbangan sebagai kerjaya tetap, Adi yang mengagumi Rosyam Nor dan berhasrat berguru dengan aktor hebat itu menyambung bicara: “Saya jatuh cinta dengan bidang yang saya ceburi sekarang. Biarpun tidak pernah menjadi cita-cita, ia serasi dengan jiwa saya. Mungkin sudah tertulis inilah rezeki saya dan saya menerimanya dengan hati terbuka.”

Dalam rancak bercerita, Adi mengaku cerewet dalam memilih watak. Bukan bayaran tinggi dikejar aktor yang dilabelkan sebagai pelapis Rosyam Nor ini, sebaliknya dia mahukan watak yang mencabar, pelbagai dan berbeza dengan personaliti sebenarnya.“Sebagai pendatang baru, saya harus bijak memilih watak untuk pergi lebih jauh dalam industri ini. Biar lambat naik, asalkan dapat bertahan lama.

“Bagi saya bayaran tidak penting, sebaliknya lebih mengutamakan watak. Saya mahu dikenali sebagai pelakon versatile dan bukannya sterotype. Lebih sukar dan mencabar karektor itu, lebih menarik di mata saya. Dengan cara ini saya dapat memantapkan mutu lakonan dan dalam masa sama memperbaiki kelemahan diri.“Sebelum ini saya diundang membintangi sebuah filem, tetapi terpaksa menolak tawaran itu dengan baik kerana watak diberikan kurang mencabar. Saya sanggup menunggu sehingga bertemu tawaran yang benar-benar sesuai dengan jiwa saya,” katanya yang percaya tiada jalan pintas untuk meraih kejayaan dan harus bekerja keras untuk kepuasan berpanjangan.

BIODATA NAMA: Mohamed Hadi Putera Halim
LAHIR: 26 Februari 1981
USIA: 25 tahun
KELULUSAN: Diploma Kejuruteraan Penerbangan, Institut Pendidikan Teknikal Singapura
TINGGI: 174 sentimeter
BERAT: 72 kilogram
ADIK BERADIK: Anak bongsu daripada tiga beradik
WARNA KEGEMARAN: Oren
HOBI: Menyanyi, selam skuba, melancong dan berfikir
BAKAT: Berlakon dan menyanyi
IDOLA: Kuswadinata
DRAMA/CAREKARAMA: Mya Zara, Dakapan Senja, Kasih Relaku Pujuk, Haryati 2

No comments: